Website dikemaskini harap maaf

Seorang Ahli Syurga

Salah seorang tokoh yang memenuhi sifat-sifat ini ialah al-Bara' bin Malik al-Ansari. Beliau adalah saudara Anas bin Malik, khadam Nabi s.a.w. Al-Bara' merupakan seorang pejuang yang gagah berani dan bersuara merdu.

Anas menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Betapa ramai orang yang kusut penampilannya, berdebu, berpakaian lusuh dan tidak dipedulikan manusia. Andai ia meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. Salah seorangnya adalah al-Bara' bin Malik."

Pada hari penundukan Kota Tustar ketika pemerintahan Umar bin al-Khattab, tentera kaum Muslimin kewalahan (tidak berupaya) menghadapi musuh. Pasukan Parsi yang berkali-kali ganda bilangannya telah menyerang pasukan Muslimin sehingga hampir mengalami kekalahan.

Tentera Muslimin segera berkata: "Wahai al-Bara', mintalah kepada Tuhanmu!" Al-Bara' segera mengangkat tangannya dan berkata: "Ya Allah, aku meminta kepada-Mu. Tundukkanlah mereka untuk kami." Maka pasukan musuh dapat ditewaskan.

Peperangan berlanjutan kembali di jambatan Sus. Pasukan musuh kembali mendesak kaum Muslimin. Mereka kembali meminta al-Bara' untuk berdoa keapda Allah. Al-Bara' berkata: "Ya Allah, aku meminta kepada-Mu, kalahkanlah mereka dan pertemukan aku dengan Nabi-Ku."

Musuh kembali dapat ditewaskan. Dan kali ini, Al-Bara' syahid di medan perang seperti permintaannya. Sungguh indah orang yang selalu bersama Allah s.w.t.

Petikan ini diambil dari Majalah Solusi No. 35.